Sebenarnya, setiap ibu mampu menyusukan bayinya. Masalah puting tenggelam atau puting leper adalah salah satu masalah yang sering melanda ibu-ibu. Namun, hakikatnya, ia BUKAN penghalang untuk meneruskan penyusuan cuma ia mungkin lebih mencabar.
Perlu diingat bahawa apabila menyusu, bayi melekap pada areola dan bukan puting semata-mata. Oleh itu, jika bayi berjaya melekap dengan betul dan melekap pada sebahagian besar areola, masalah puting tenggelam atau leper tidak menjadi masalah untuk anda meneruskan penyusuan. Anda mungkin mengalami sedikit masalah pada mulanya untuk melekapan bayi tetapi berbekalkan semangat, kesungguhan, kesabaran dan teknik yang betul pasti anda berjaya.
Apakah perbezaan antara puting tenggelam dengan puting leper?
Ibu-ibu hamil boleh memastikan sama ada mengalami puting tenggelam atau leper dengan memicit areola. Jika puting timbul dan bergerak ke hadapan, ia normal.
Jika tidak timbul atau tegang dan tidak juga masuk ke dalam, ia dianggap leper. Jika puting berkeadaan songsang, masuk ke dalam tisu kulit atau melekuk, ia dianggap sebagai tenggelam.
Puting tenggelam atau leper tidak akan tegang apabila dirangsang atau ketika cuaca sejuk. Jika puting puan tidak timbul ketika dirangsang seperti yang dinyatakan di atas, ia bukannya tenggelam dan tidak memerlukan rawatan khusus untuk membolehkan puan menyusu dengan selesa.
RAWATAN
Adalah penting untuk diketahui bahawa kebanyakan bayi yang melekap dengan betul mampu mengeluarkan puting tenggelam atau leper. Terdapat beberapa pilihan untuk merawat puting tenggelam/leper bagi membolehkan bayi melekap dengan lebih mudah. Sesetengah rawatan ini boleh dipraktikkan semasa hamil dan sebahagiannya pula perlu dilakukan selepas kelahiran bayi.
1. Cengkerang payu dara (Breast Shield)
Alat yang turut dikenali sebagai cawan susu, cawan payu dara atau pembentuk puting ini mengambil kesempatan ke atas keanjalan semula jadi kulit sewaktu hamil dengan memberi tekanan yang lembut tetapi tetap kepada aerola sebagai usaha memecahkan lekatan di bawah kulit yang menghalang puting untuk tegang. Cengkerang ini dipakai di dalam coli, di mana memerlukan anda memakai coli yang lebih besar berbanding coli biasa dipakai bagi memuatkan cengkerang. Sebaik-baiknya, cengkerang perlu dipakai bermula trimester ketiga kehamilan untuk beberapa jam setiap hari. Selepas mula selesa memakainya, anda boleh meningkatkan jumlah masa untuk memakainya di siang hari. Setelah bayi lahir, cengkerang yang sama boleh dipakai 30 minit sebelum setiap sesi penyusuan untuk mengeluarkan puting. la tidak sepatutnya dipakai di waktu malam dan susu yang dikumpulkan di dalamnya harus dibuang. Salah satu produk di pasaran adalah Nipple Former (produk Medela)
2. Teknik Hoffman
Dengan melakukan teknik ini beberapa kali sehari, ia dapat melonggarkan lekatan pada pangkal puting. Untuk mengaplikasikan teknik Ini, letakkan ibu jari di kedua-dua pangkal puting (bukannya di tepi aerola). Tolak perlahan-lahan bertentangan tisu payu dara dan pada masa yang sama tarik ibu jari jauh dari antara satu sama lain. Dengan melakukan kaedah ini, anda akan meregang keluar puting dan melonggarkan pangkal yang ketat yakni menjadikan puting naik ke atas dan keluar. Latihan ini perlu diulangi 5 kali sehari mengikuti putaran arah jam di sekitar puting. la boleh dilakukan ketika hamil dan selepas bayi mula menyusu.
3. Pam Payudara
Selepas melahirkan, penggunaan pam payu dara yang efektif amat membantu untuk mengeluarkan puting tenggelam atau rata. Gunakannya sejurus sebelum sesi penyusuan untuk membolehkan bayi melekap dengan lebih mudah. la juga boleh digunakan di lain waktu untuk membantu lekatan bawah kulit dipecahkan dengan menolak puting keluar secara sekata dari tengah.
4. Niplette
Alat yang diperkenalkan oleh Avent ini turut membantu mengeluarkan puting dengan menyedutnya secara sekata, sama seperti yang dilakukan oleh pam payu dara. la memberi pemulihan kekal untuk puting tenggelam. Jadi, anda boleh mula memakainya sejak hamil.
5. Perangsang puting
Jika puting boleh digenggam, anda boleh menggulung puting di antara ibu jari dan jari telunjuk selama satu atau dua minit dan kemudian dengan segera sentuh puting dengan kain lembap, sejuk atau dibalut ais (elakkan penggunaan ais yang lama kerana ia menyekat aliran susu dan menyebabkan puting kebas).
6. Tarik puting ketika pelekapan
Memandangkan anda menyokong payu dara dengan ibu jari di atas dan empat jari yang lain di bawahnya, anda boleh tarik puting dari tisu payu dara ke dinding dada untuk membantunya menonjol.
7. Nipple Shield
Alat ini hanya boleh digunakan sebagai alternatif terakhir. Perisai puting adalah puting fleksibel yang dihasilkan daripada silikon yang ditempatkan di atas puting sepanjang sesi penyusuan. Ini dilakukan agar bayi dapat melekap dengan baik. Bagi mengelakkan bayi ketagih menyusu menggunakan perisai, ia sepatutnya dialihkan setelah bayi mula melekap dan menyusu dengan baik. Tempoh masa penggunaam perisai ini turut perlu dkurangkan.
Masalah yang mungkin timbul akibat penggunaan perisai ini ialah mengurangkan penghasilan susu dan masalah pemindahan susu kepada bayi. Atas kemungkinan risiko ini, anda digalakkan hanya menggunakan perisai di bawah pengawasan pakar laktasi atau kaunselor laktasi. Perlu diingatkan juga bahawa walaupun terdapat risiko dalam penggunaan perisai ini, namun ia lebih baik daripada langsung tidak menyusukan bayi! 🙂 🙂
Makanan Banyakkan Susu Badan
Tips Banyakkan Susu Badan
Your Shaklee Independent Distributor