Tadi saya dapat berita bahawa rakan shaklee saya, disahkan mengandung di luar rahim lagi sekali. Sebelum ini beliau pernah mengandung di luar rahim dan tiub falopio sebelah telah dibuang.
Disebabkan nak tahu maka saya pun google la cari maklumat tentang kehamilan di luar rahim ni. Jom sama-sama kita baca serba sedikit tentang kehamilan di luar rahim.
Apakah itu kehamilan di luar rahim?
Dalam bahasa Inggeris, istilah ini dipanggil ectopic pregnancy. Perkataan ectopic bermaksud “di tempat yang salah”. Dan seperti namanya, kehamilan di luar rahim bermaksud kehamilan yang membesar di luar rahim ibu.
Dalam kebanyakan kes kehamilan di luar rahim (95 peratus), implantasi berlaku dalam tiub falopio, dan sebab itulah ia juga dikenali sebagai kehamilan tiub (tubal pregnancy). Apabila kehamilan ini berkembang, ia menyebabkan kesakitan dan pendarahan, dan jika dibiarkan, tiub falopio tersebut boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman.
Ini merupakan kes kecemasan dan boleh mengancam nyawa. Kehamilan seperti ini tidak bertahan lama kerana ia tidak dapat dialihkan ke dalam rahim. Ia harus digugurkan sepenuhnya.
Bilakah kehamilan di luar rahim biasanya berlaku?
Kehamilan di luar rahim biasanya dikenalpasti di antara minggu keempat dan kesepuluh. Simptom-simptomnya biasanya berlaku kira-kira dua minggu selepas tidak datang haid.
Mengapakah kehamilan di luar rahim berlaku?
Telur yang telah disenyawakan biasanya mengambil masa lima hingga enam hari untuk bergerak melalui tiub falopio dari ovari ke rahim di mana ia akan diimplantasi dan mula berkembang. Sebab yang paling biasa kehamilan seperti ini berlaku ialah apabila tiub tersebut telah rosak, menyebabkannya tersumbat atau sempit, lantas menghalang telur tersebut daripada sampai ke destinasinya. Oleh itu, ia akan terimplan di dinding tiub, bukannya di dinding rahim.
Siapakah yang berisiko mengalami kehamilan di luar rahim?
Kehamilan di luar rahim boleh berlaku kepada mana-mana wanita, tetapi ada situasi-situasi tertentu yang meningkatkan risiko ini.
Ini termasuk:
- Jika anda pernah menghidap penyakit radang pelvik (pelvic inflammatory disease – PID) yang sering kali disebabkan oleh jangkitan kelamin klamidia (chlamydia) dan menyebabkan kerosakan dan luka pada tiub falopio. Terdapat tanda-tanda PID dalam separuh daripada kes kehamilan di luar rahim yang dibedah.
- Jika anda mengalami endometriosis tiub. Anda lebih berisiko kerana ini meningkatkan risiko calar dan luka pada tiub falopio.
- Jika anda pernah membuat pembedahan di bahagian perut, termasuk pembedahan membuang apendiks, caesarean atau pembedahan pada tiub falopio seperti pembalikan sterilisasi (sterilisation reversal).
- Jika anda hamil melalui kaedah IVF. Anda seharusnya membuat imbasan awal untuk melihat di mana embrio telah diimplantasi.
- Jika anda menggunakan IUD yang mengeluarkan hormon progesteron (IUS, juga dikenali sebagai lingkaran Mirena) atau jika anda mengambil pil mini pencegah kehamilan. Kedua-duanya dikaitkan dengan kadar kehamilan di luar rahim yang sedikit tinggi.
- Jika anda merokok.
- Jika anda pernah mengalami kehamilan di luar rahim. Risiko anda meningkat daripada 1 dalam 100 kepada 1 dalam 10.
- Risiko hamil di luar rahim juga meningkat apabila umur semakin bertambah
Semoga segalanya dipermudahkan dan baik-baik saja yer wahai sahabat. Kami mendoakan dari jauh. Semoga semuanya selamat. Allah uji tanda sayang. dan Allah takkan uji di luar kemampuan hambaNya.